Make your own free website on Tripod.com

19 Mei 2006
20 Rabiul Akhir 1427
Utusan Malaysia
 
 
Search Archives
Feedback
Corporate Info


 
 Ekonomi

Mampu berikan pendapatan lumayan - PM

SITIAWAN 18 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pendekatan bioteknologi dalam menghasilkan produk berasaskan herba boleh mendatangkan sumber pendapatan lumayan kepada rakyat terutamanya penduduk luar bandar.

Beliau berkata, permintaan yang semakin tinggi terhadap produk kosmetik, makanan dan farmaseutikal berasaskan tanaman kini membuka peluang yang cukup besar kepada penduduk kampung untuk mengusahakan ladang-ladang satelit.

``Kewujudan ladang-ladang satelit (kecil) di kawasan luar bandar yang diusahakan oleh rakyat memberi kesan positif terhadap sektor pertanian dan pendekatan teknologi untuk menghasilkan produk berasaskan herba akan membuka peluang kepada golongan ini memperoleh pendapatan lumayan.

``Masyarakat hari ini lebih terdorong untuk memilih makanan, kosmetik dan ubat-ubatan berasaskan herba berbanding penggunaan produk yang dibuat daripada bahan kimia, justeru pendekatan bioteknologi untuk menghasilkan produk tersebut bagi menggantikan kaedah tradisional perlu diperhebatkan,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke Golden Hope Food & Beverages Sdn. Bhd, Ladang Sungei Wangi, di sini hari ini.

Ladang jambu seluas 500 hektar yang terbesar di dunia itu mampu mengeluarkan 12,000 metrik tan jambu serta 18,000 tan jus setahun dan menguasai 15 peratus pasaran jus jambu dunia.

Abdullah berkata, beliau gembira syarikat peladangan dan rakyat menyambut baik saranan kerajaan supaya menambah nilai produk-produk berasaskan lycopene (yang ada pada buah dan daun jambu) yang boleh menghalang barah prostat dan polyphenol serta merawat penyakit kencing manis.

``Langkah Golden Hope mengembang dan menambah nilai produk berasaskan lucopene dan polyphenol akan mendapatkan pendapatan lebih tinggi daripada hasil jambu itu sendiri kerana produk perubatan mendapat sambutan sangat menggalakkan,'' katanya.

Pada majlis sama beliau turut melancarkan klon jambu baru yang diberi nama `Pak Lah 1' (PL1) yang produktif dan tahan lasak, menghasilkan buah lebih besar dan mempunyai warna dan tahap kemanisan yang baik.

Terdahulu Abdullah turut menyaksikan empat perjanjian persefahaman (MoU) Golden Hope Research Sdn. Bhd., dengan Innovax Sdn. Bhd., Best Cosmetics Laboratories Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Clara International Beauty Group Sdn. Bhd., Tropical Botanics Sdn. Bhd. dan Organic Gain Sdn. Bhd.


 




Tajuk-tajuk Berita
  • Petani kecil mula rasai manfaat bioteknologi
  • Zeti: Ekonomi kekal baik
  • Bursa Malaysia terus ditutup rendah
  • Pasaran saham terus menyusut
  • Agil Natt jadi CEO INCEIF
  • Bursa Malaysia, Bursa Vietnam meterai MoU
  • Global Hi-Q labur RM100j bina taman organik
  • Mampu berikan pendapatan lumayan - PM
  • NS pengeluar utama produk akuakultur
  • Perak pengeluar utama hasil perikanan

  • [an error occurred while processing this directive]

    UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my
    | Terms of Use |