Make your own free website on Tripod.com

RAYUAN

Rayuan

44. Mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan Lembaga berkenaan dengan

(a) penolakan suatu permohonan untuk pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka;

(b) pemberian lesen wajib di bawah subseksyen 36(1);

(c) royalti yang kena dibayar di bawah subseksyen 36(4);

(d) penamatan lesen wajib di bawah seksyen 38;

(e) pembatalan hak pembiak baka;

(f) terma dan syarat-syarat berkenaan dengan penyerahan sesuatu hak pembiak baka; atau

(g) penyerahhakan atau perpindahan sesuatu hak pembiak baka,

boleh, dalam tempoh tiga puluh hari selepas diberitahu secara bertulis tentang keputusan Lembaga membuat rayuan secara bertulis terhadap keputusan itu kepada Menteri.

Lembaga Rayuan

45. (1) Apabila rayuan diterima di bawah seksyen 44, Menteri hendaklah merujukkan perkara itu kepada suatu Lembaga Rayuan.

(2) Lembaga Rayuan itu hendaklah terdiri daripada anggota-anggota yang berikut:

(a) Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b) Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;

(c) Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi;

(d) Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sarawak; dan

(e) Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Sabah.

(3) Dalam mesyuarat Lembaga Rayuan, korum Lembaga hendaklah tiga orang.

(4) Jika atas apa-apa sebab Pengerusi tidak dapat hadir dalam mesyuarat Lembaga Rayuan, anggota yang hadir hendaklah memilih seorang daripada kalangan mereka untuk mempengerusikan mesyuarat dan anggota yang dipilih itu hendaklah menjalankan kuasa Pengerusi sepanjang mesyuarat itu dan hendaklah disifatkan sebagai Pengerusi bagi maksud mesyuarat itu.

(5) Lembaga Rayuan boleh mengawal selia tatacaranya sendiri dalam mendengar apa-apa rayuan sedemikian dan tidaklah terikat dengan mana-mana undang-undang atau rukun amalan yang berhubungan dengan penerimaan keterangan.

(6) Lembaga Rayuan hendaklah menimbangkan rayuan dan membuat syor kepada Menteri.

Keputusan Menteri

46. Keputusan Menteri adalah muktamad dan hendaklah dimaklumkan secara bertulis kepada orang yang membuat rayuan.

Back to top | Rayuan | Lembaga Rayuan |Keputusan Menteri