Make your own free website on Tripod.com

KETAKSAHAN, PEMBATALAN, PENYERAHAN DAN
PENYERAHHAKAN ATAU PERPINDAHAN

Ketaksahan hak pembiak baka

39. (1) Mana-mana orang yang berkepentingan boleh memulakan presiding mahkamah terhadap pemegang untuk mentaksahkan pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka.

(2) Mahkamah hendaklah mentaksahkan sesuatu hak pembiak baka jika orang yang meminta pentaksahan itu membuktikan bahawa—

(a) pemegang telah memberi Lembaga maklumat atau perayataan yang palsu atau mengelirukan berkenaan dengan permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu;

(b) pemegang tidak mematuhi kehendak Akta ini; atau

(c) hak pembiak baka itu bukan kepunyaan orang yang kepadanya hak pembiak baka itu telah diberikan.

(3) Walau apa pun subseksyen (2), mahkamah tidak boleh mentaksahkan pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka atas alasan yang disebut dalam perenggan 39(2)(c) jika hak pembiak baka itu telah diserahhakkan kepada orang yang mempunyai hak mengenai hak pembiak baka itu.

(4) Jika peruntukan subseksyen (1) terpakai hanya bagi beberapa tuntutan atau beberapa bahagian daripada sesuatu tuntutan, maka tuntutan atau bahagian sesuatu tuntutan itu boleh diisytiharkan tak sah oleh mahkamah dan ketaksahan sebahagian daripada sesuatu tuntutan itu hendaklah diisytiharkan dalam bentuk suatu batasan yang sepadan bagi tuntutan yang berkenaan.

Tarikh dan kuat kuasa ketaksahan

40. (1) Apabila keputusan mahkamah menjadi muktamad, Pendaftar mahkamah hendaklah memberitahu Lembaga dan Lembaga hendaklah merekodkan pentaksahan itu dalam perakuan pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka dan dalam Daftar Varieti Baru Tumbuhan dan menyiarkan hakikat pentaksahan itu dalam Warta.

(2) Mana-mana perakuan pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka atau tuntutan atau bahagian daripada sesuatu tuntutan yang ditaksahkan hendaklah dianggap sebagai batal dan tidak sah dari tarikh pemberian hak pembiak baka.

Pembatalan hak pembiak baka

41. (1) Lembaga boleh membatalkan suatu hak pembiak baka yang diberikan kepada pemegang jika—

(a) pemegang gagal memberi Lembaga dalam tempoh yang dinyatakan oleh Lembaga secara bertulis maklumat, kemudahan atau bahan pembiakan yang dianggapkan perlu oleh Lembaga bagi penyenggaraan sampel yang disimpan di pusat yang diluluskan oleh Lembaga apabila diminta oleh Lembaga;

(b) pemegang gagal membayar apa-apa fi yang kena dibayar kepada Lembaga untuk memastikan hak pembiak bakanya terus berkuat kuasa;

(c) varieti tumbuhan berdaftar itu gagal menunjukkan secara berterusan syarat-syarat yang kerananya pendaftaran dibuat dan hak pembiak baka diberikan;

(d) pemegang melanggar apa-apa terma dan syarat yang dikenakan ke atasnya sebagai seorang pemegang; atau

(e) pemegang menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan apa-apa sampel suatu varieti tumbuhan berdaftar yang disimpan di suatu pusat di bawah seksyen 27 tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Lembaga.

 

(2) Sebelum membatalkan sesuatu hak pembiak baka, Lembaga hendaklah memberi pemegang itu suatu notis secara bertulis menghendaki pemegang itu menunjukkan sebab dalam tempoh empat belas hari mengapa hak pembiak bakanya tidak patut dibatalkan.

(3) Selepas tamat tempoh empat belas hari dan selepas menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh pemegang, Lembaga hendaklah memutuskan sama ada akan membatalkan perlindungan itu atau tidak mengambil tindakan selanjutnya.

(4) Lembaga hendaklah memberi pemegang suatu notis secara bertulis tentang keputusannya di bawah subseksyen (3).

(5) Pembatalan sesuatu hak pembiak baka hendaklah mula berkuat kuasa—

(a) jika tiada rayuan terhadap pembatalan itu, apabila tamat tempoh empat belas hari dari tarikh notis pembatalan itu disampaikan kepada pemegang itu; atau

(b) jika ada rayuan terhadap pembatalan itu, apabila pembatalan itu disahkan oleh Menteri di bawah seksyen 46.

(6) Jika hak pembiak baka itu dibatalkan di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah—

(a) mengarahkan pemegang mengembalikan perakuan pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka kepada Lembaga; dan

(b) mempunyai kuasa untuk membenarkan mana-mana orang mengusahakan penghasilan varieti tumbuhan itu atas sebab kepentingan awam.

(7) Lembaga hendaklah merekodkan pembatalan itu pada perakuan pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka dan dalam Daftar Varieti Baru Tumbuhan dan menyiarkan hakikat pembatalan itu dalam Warta.

Penyerahan hak pembiak baka

42. (1) Seseorang pemegang boleh menyerahkan hak pembiak bakanya dengan mengemukakan suatu permintaan bertulis kepada Lembaga berserta dengan perakuan pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak bakanya.

(2) Penyerahan itu hendaklah berkuat kuasa pada tarikh Lembaga menerima perakuan pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka menurut permintaan bertulis di bawah subseksyen (1).

(3) Lembaga boleh mengenakan apa-apa terma dan syarat yang disifatkan patut berkenaan dengan penyerahan itu.

(4) Lembaga hendaklah merekodkan penyerahan itu dalam Daftar Varieti Baru Tumbuhan dan menyiarkan hakikat penyerahan itu dalam Warta.

Penyerahhakan atau perpindahan hak pembiak baka

43. (1) Hak pembiak baka atau sesuatu permohonan untuk pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka boleh diserahhakkan atau berpindah dengan kelulusan Lembaga kepada—

(a) wakil diri di sisi undang-undang bagi pemegang atau pemohon untuk pendaftaran dan pemberian itu; atau

(b) mana-mana orang yang berhak mengenai penyerahhakan atau perpindahan itu melalui kuat kuasa undang-undang.

(2) Permohonan bagi penyerahhakan atau perpindahan sesuatu hak pembiak baka hendaklah—

(a) dibuat mengikut cara yang dinyatakan oleh Lembaga secara bertulis; dan

(b) disertakan dengan fi yang ditetapkan.

(3) Lembaga boleh meluluskan penyerahhakan atau perpindahan hak pembiak baka jika—

(a) ia dibuat secara bertulis yang ditandatangani oleh atau bagi pihak-pihak yang berkontrak; atau

(b) pemegang atau pemohon bagi pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu mati atau menjadi tak upaya.

(4) Sebelum memberikan kelulusan untuk penyerahhakan atau perpindahan sesuatu hak pembiak baka, Lembaga hendaklah menyiarkan dalam Warta butir-butir permohonan itu dan memberikan suatu tempoh masa yang munasabah bagi apa-apa bantahan terhadap permohonan untuk penyerahhakan atau perpindahan itu.

(5) Penyerahhakan atau perpindahan sesuatu hak pembiak baka hendaklah direkodkan dalam Daftar Varieti Baru Tumbuhan dan hakikat penyerahhakan atau perpindahan itu hendaklah disiarkan dalam Warta.

Back to top | Ketaksahan hak pembiak baka |Tarikh dan kuat kuasa ketaksahan
Pembatalan hak pembiak baka |Penyerahan hak pembiak baka |
Penyerahhakan atau perpindahan hak pembiak baka