Make your own free website on Tripod.com

LESEN WAJIB

Lesen wajib

36. (1) Pada bila-bila masa selepas tamat tempoh tiga tahun dari pemberian suatu hak pembiak baka, jika Lembaga berpuas hati bahawa—

(a) apa-apa kehendak seksyen 34 tidak dipatuhi dan keperluan masyarakat tani untuk bahan pembiakan varieti tumbuhan berdaftar belum lagi dipenuhi; atau

(b) sebahagian besar varieti tumbuhan berdaftar itu yang ditawarkan untuk jualan adalah diimport,

Lembaga boleh memberikan suatu lesen wajib kepada mana-mana orang, agensi atau syarikat untuk mengusahakan mana-mana perbuatan yang disebut dalam subseksyen 30(1) berkenaan dengan apa-apa bahan varieti tumbuhan berdaftar itu sama ada dengan atau tanpa kebenaran daripada pemegang walaupun pemegang itu mungkin telah memberikan kebenarannya kepada mana-mana orang lain.

(2) Sebelum memberikan lesen wajib Lembaga hendaklah memberi pemegang suatu notis secara bertulis tentang niatnya untuk berbuat demikian dan memberi pemegang itu hak untuk membuat representasi dalam tempoh yang ditentukan.

(3) Lembaga hendaklah, apabila menimbangkan representasi pemegang, atau jika tiada apa-apa representasi diterima dalam tempoh yang ditentukan, membuat suatu keputusan berkenaan dengan niatnya dan hendaklah memaklumkan keputusannya kepada pemegang dalam tempoh masa yang munasabah.

(4) Jika Lembaga memberikan suatu lesen wajib di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah menentukan suatu jumlah yang munasabah yang hendaklah dibayar oleh pemegang lesen kepada pemegang sebagai royalti.

Ruang lingkup dan syarat-syarat lesen wajib

37. Apabila memberikan lesen wajib kepada mana-mana orang, agensi atau syarikat, Lembaga hendaklah menentukan —

(a) ruang lingkup lesen wajib itu dan hak untuk melakukan apa-apa perbuatan yang disebut dalam seksyen 30 kecuali bahawa hak itu tidak boleh meliputi perbuatan pengimportan;

(b) tempoh lesen wajib; dan

(c) terma dan syarat lesen wajib.

Penamatan lesen wajib

38. (1) Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk menamatkan atau membatalkan mana-mana lesen wajib yang diberikan di bawah seksyen 36 jika Lembaga berpuas hati bahawa pemegang lesen telah melanggar mana-mana terma dan syarat lesen wajib itu.

(2) Sebelum menamatkan suatu lesen wajib, Lembaga hendaklah memberikan suatu notis secara bertulis kepada pemegang lesen menghendaki pemegang lesen itu menunjukkan sebab dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan notis mengapa lesen itu tidak patut ditamatkan.

(3) Selepas tamat tempoh empat belas hari dan setelah menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh pemegang lesen itu, Lembaga hendaklah memutuskan sama ada akan menamatkan lesen itu atau tidak mengambil tindakan selanjutnya.

(4) Lembaga hendaklah memberikan suatu notis bertulis kepada pemegang lesen tentang keputusannya di bawah subseksyen (3) dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan.

Back to top | Lesen wajib | Ruang lingkup dan syarat-syarat lesen wajib |Penamatan lesen wajib