Make your own free website on Tripod.com

HAK, BATASAN DAN KEWAJIPAN
SESEORANG PEMEGANG

Ruang lingkup hak pembiak baka

30. (1) Tertakluk kepada seksyen 31, seseorang pemegang hak pembiak baka hendaklah, berkenaan dengan varieti tumbuhan berdaftar yang baginya hak itu diberikan, mempunyai hak untuk melakukan semua atau mana-mana perbuatan yang berikut secara komersial:

(a) menghasil atau menghasilkan semula;

(b) menyesuaikan untuk tujuan pembiakan;

(c) menawarkan untuk jualan;

(d) memasarkan, termasuk menjual;

(e) mengeksport; (/) mengimport;

(g) menyimpan bahan bagi maksud yang disebutkan dalam perenggan (a) hingga (f).

(2) Hak pembiak baka hendaklah juga meliputi—

(a) apa-apa bahan pembiakan varieti tumbuhan berdaftar itu, bahan tuaian varieti tumbuhan berdaftar itu dan keseluruhan atau mana-mana bahagian sesuatu varieti tumbuhan jika bahan pembiakan varieti tumbuhan itu diperoleh dengan cara yang tidak dibenarkan daripada varieti tumbuhan berdaftar itu;

 

(b) varieti tumbuhan yang pada asalnya diterbitkan daripada varieti tumbuhan berdaftar itu, jika varieti tumbuhan berdaftar itu tidak pada asasnya diterbitkan daripada suatu varieti tumbuhan yang lain;

(c) varieti tumbuhan yang tidak dapat dibezakan dengan jelas daripada varieti tumbuhan berdaftar itu; atau

(d) penghasilan varieti tumbuhan lain yang memerlukan penggunaan varieti tumbuhan berdaftar itu secara berulang kali.

(3) Bagi maksud perenggan 30(2)(a), "tidak dibenarkan" berhubung dengan bahan pembiakan ertinya bahan pembiakan itu diperoleh tanpa persetujuan atau kebenaran pemegang.

Batasan hak pembiak baka

31. (1) Hak pembiak baka tidak meliputi —

(a) apa-apa perbuatan yang dilakukan secara persendirian dan tidak secara komersial;

(b) apa-apa perbuatan yang dilakukan bagi maksud uji kaji;

(c) apa-apa perbuatan yang dilakukan bagi maksud pembiakbakaan varieti tumbuhan lain dan apa-apa perbuatan yang disebut dalam perenggan 30(l)(a) hingga (g) berkenaan dengan varieti tumbuhan lain itu, kecuali jika varieti tumbuhan lain itu pada asasnya diterbitkan daripada varieti tumbuhan berdaftar itu;

(d) apa-apa perbuatan pembiakan oleh petani-petani kecil yang menggunakan bahan tuaian varieti tumbuhan berdaftar yang ditanam di tanah mereka sendiri;

(e) apa-apa pertukaran bahan pembiakan dalam amaun yang munasabah di kalangan petani-petani kecil; dan

(f) penjualan biji benih dari ladang sendiri dalam keadaan seseorang petani kecil tidak dapat menggunakan biji benih dari ladang sendiri di atas tanahnya sendiri akibat bencana

alam atau kecemasan atau apa-apa faktor lain di luar kawalan petani kecil itu, jika amaun yang dijual tidak melebihi apa yang diperlukan untuk tanahnya sendiri.

(2) Hak pembiak baka yang diberikan di bawah seksyen 30 tidaklah terpakai bagi apa-apa bahan varieti tumbuhan berdaftar atau apa-apa bahan yang diterbitkan daripada bahan itu yang telah dijual di Malaysia secara komersial oleh pembiak baka itu atau oleh mana-mana orang lain dengan kebenarannya, melainkan jika bahan itu digunakan bagi tujuan yang melibatkan—

(a) pembiakan lanjut varieti tumbuhan berdaftar itu; atau

(b) pengeksportan bahan itu ke sesuatu negara yang tidak melindungi varieti genus atau spesies tumbuhan yang merangkumi varieti itu dan jika bahan yang dieksportkan itu bukanlah untuk penggunaan terakhir.

Tempoh hak pembiak baka

32. (1) Hak pembiak baka mengenai sesuatu varieti tumbuhan berdaftar hendaklah mula berkuat kuasa mulai dari tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran varieti tumbuhan itu dan pemberian hak pembiak baka dan hendaklah sah selama tempoh—

(a) dua puluh tahun bagi varieti tumbuhan berdaftar yang baru, berlainan, seragam dan stabil; atau

(b) lima belas tahun bagi varieti tumbuhan berdaftar yang baru, berlainan dan dapat dikenal pasti.

(2) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), jika sesuatu permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka dibuat berkenaan dengan pokok atau tumbuhan menjalar, dan permohonan itu telah mematuhi peruntukan Akta ini, Lembaga boleh mendaftarkan varieti tumbuhan itu dan memberikan hak pembiak baka bagi tempoh selama dua puluh lima tahun.

Pelanjutan tempoh hak pembiak baka

33. (1) Walau apa pun peruntukan seksyen 32, Lembaga boleh melanjutkan tempoh sesuatu hak pembiak baka yang diberikan jika Lembaga berpuas hati bahawa pelanjutan itu wajar atas alasan keperluan dan kepentingan negara.

(2) Sesuatu permohonan untuk pelanjutan tempoh sesuatu hak pembiak baka di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat secara bertulis kepada Lembaga oleh pemegang sebelum tamat tempoh hak pembiak baka itu.

Kebolehdapatan bahan pembiakan

34. Pemegang hendaklah memastikan bahawa bahan pembiakan varieti tumbuhan berdaftar yang mempunyai kualiti yang munasabah boleh didapati dalam kuantiti yang munasabah dalam masa tiga tahun dari tarikh permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan itu dan pemberian hak pembiak baka dan pada harga yang munasabah sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Lembaga.

Kewajipan seseorang pemegang

35. (1) Pemegang hendaklah sepanjang tempoh hak pembiak baka—

(a) menyenggara atas perbelanjaannya sendiri sampel yang telah disimpan di pusat yang diluluskan oleh Lembaga di bawah seksyen 27;

(b) memberi Lembaga apabila diminta oleh Lembaga, bahan pembiakan varieti tumbuhan berdaftar yang boleh dihasilkan semula;

(c) memberi Lembaga apabila diminta oleh Lembaga, kemudahan dan maklumat berkenaan dengan varieti tumbuhan berdaftar, tanpa apa-apa caj.

(2) Bagi maksud perenggan 35(1)(c), "kemudahan" termasuklah kemudahan bagi menjalankan sesuatu pemeriksaan.

Back to top | Ruang lingkup hak pembiak baka | Batasan hak pembiak baka | Tempoh hak pembiak baka |Pelanjutan tempoh hak pembiak baka | Kebolehdapatan bahan pembiakan  |
Kewajipan seseorang pemegang