Make your own free website on Tripod.com

TATACARA DAN SYARAT-SYARAT BAGI PERMOHONAN
UNTUK
PENDAFTARAN VARIETI BARU TUMBUHAN
DAN PEMBERIAN
HAK PEMBIAK BAKA

Permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka

12. (1) Sesuatu permohonan untuk pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka hendaklah dibuat kepada Lembaga mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah —

(a) menyatakan nama, alamat, kerakyatan dan butir-butir lain pemohon;

(b) menyatakan kaedah bagaimana varieti tumbuhan itu dibangunkan;

(c) disokong dengan dokumen dan maklumat yang berhubungan dengan ciri-ciri varieti tumbuhan itu yang membezakan varieti tumbuhan itu dengan varieti tumbuhan yang lain;

(d) menyatakan nama pengenalan varieti tumbuhan mengikut seksyen 16;

(e) mengandungi maklumat yang berhubungan dengan sumber bahan genetik atau jurai induk terdekat varieti tumbuhan itu;

(f) disertakan dengan kebenaran bertulis yang diberikan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa yang mewakili masyarakat tempatan atau pribumi dalam hal jika varieti tumbuhan itu dibangunkan daripada varieti tradisional;

 

(g) disokong dengan dokumen yang berhubungan dengan pematuhan apa-apa undang-undang yang mengawal selia akses kepada sumber genetik atau biologi; dan

(h) disokong dengan dokumen yang berhubungan dengan pematuhan apa-apa undang-undang yang mengawal selia aktiviti yang melibatkan organisma yang telah diubahsuaikan dari segi genetik dalam hal jika pembangunan varieti baru tumbuhan itu melibatkan pengubahsuaian genetik.

(2) Suatu permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan.

Orang yang boleh memohon untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka

13. (1) Permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian suatu hak pembiak baka di bawah seksyen 12 hanya boleh dibuat oleh —

(a) pembiak baka;

(b) majikan pembiak baka itu;

(c) pengganti dalam hak milik pembiak baka itu;

(d) seorang petani atau sekumpulan petani, masyarakat tempatan atau pribumi yang telah menjalankan fungsi seorang pembiak baka;

(e) mana-mana kerajaan atau badan berkanun yang telah menjalankan fungsi pembiak baka.

(2) Jika tempat bermastautin biasa atau tempat utama perniagaan pemohon adalah di luar Malaysia atau jika pemohon merupakan sekumpulan petani, pemohon hendaklah melantik seorang ejen yang bermastautin atau yang mempunyai suatu pejabat berdaftar di Malaysia yang kepadanya notis atau proses yang berhubungan dengan permohonan untuk pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka dan perkara lain yang berhubungan dengan permohonan atau hak pembiak itu boleh disampaikan, dan jika pemohon tidak melantik ejen sedemikian, Lembaga boleh enggan meneruskan permohonan itu sehingga ejen itu telah dilantik.

 

(3) Jika pemohon ialah suatu masyarakat tempatan atau seorang pribumi, maka pihak berkuasa yang mewakili masyarakat tempatan atau pribumi itu hendaklah menjadi ejen bagi pemohon itu dan notis atau proses yang berhubungan dengan permohonan dan perkara lain yang berhubungan dengan pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan atau hak pembiak baka boleh disampaikan kepadanya.

Syarat-syarat bagi pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka

14. (1) Tertakluk kepada seksyen 15 dan 16, suatu varieti baru tumbuhan hendaklah didaftarkan sebagai suatu varieti baru tumbuhan dan diberikan hak pembiak baka jika varieti tumbuhan itu baru, berlainan, seragam dan stabil.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), jika varieti tumbuhan itu dibiakkan, atau ditemui dan dibangunkan oleh petani, masyarakat tempatan atau pribumi, varieti tumbuhan itu boleh didaftarkan sebagai suatu varieti baru tumbuhan dan diberi suatu hak pembiak baka jika varieti tumbuhan itu baru, berlainan dan dapat dikenal pasti.

(3) Bagi maksud subseksyen (1) dan (2) —

(a) sesuatu varieti tumbuhan adalah baru jika pada tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka, bahan pembiakan atau tuaian varieti tumbuhan itu belum dijual atau selainnya dilupuskan secara komersial oleh atau dengan persetujuan pembiak baka—

(i) di Malaysia, lebih awal daripada satu tahun sebelum tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka; dan

(ii) di negara lain —

(A) lebih awal daripada enam tahun sebelum tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka berkenaan dengan pokok dan tumbuhan menjalar; dan

 

(B) lebih awal daripada empat tahun sebelum tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka berkenaan dengan varieti tumbuhan lain;

(b) sesuatu varieti tumbuhan adalah berlainan jika pada tarikh pemfailan permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka varieti tumbuhan itu dapat dibezakan dengan jelas daripada mana-mana varieti tumbuhan lain, yang kewujudannya merupakan suatu perkara yang diketahui umum;

(c) sesuatu varieti tumbuhan adalah seragam jika, tertakluk kepada perubahan yang dapat dijangka daripada sifat tertentu pembiakannya, varieti tumbuhan itu seragam dengan secukupnya dalam ciri-cirinya yang berkaitan;

(d) sesuatu varieti tumbuhan adalah stabil jika ciri-cirinya yang berkaitan masih tidak berubah selepas pembiakan berulang kali atau, dalam hal suatu kitaran pembiakan yang tertentu, pada penghujung setiap kitaran tertentu itu;

(e) sesuatu varieti tumbuhan boleh dikenal pasti jika—

(i) varieti tumbuhan itu dapat dibezakan daripada mana-mana kumpulan tumbuhan yang lain melalui pemaparan satu ciri dan ciri tersebut dapat dikenal pasti dalam tumbuhan individu atau dalam dan meliputi suatu kumpulan tumbuh-tumbuhan; dan

(ii) ciri-ciri tersebut boleh dikenal pasti oleh mana-mana orang yang mahir dalam bidang yang berkaitan.

Larangan pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka

15. Lembaga tidak boleh meluluskan pendaftaran sesuatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka kepada mana-mana orang berkenaan dengan apa-apa varieti tumbuhan—

(a) yang boleh menjejaskan ketenteraman aw am atau prinsip moral; atau

 

(b) jika terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa penanaman, penghasilan semula atau apa-apa kegunaan lain varieti tumbuhan itu boleh mengakibatkan suatu kesan negatif terhadap alam sekitar.

Nama pengenalan varieti baru tumbuhan

16. (1) Nama pengenalan suatu varieti baru tumbuhan yang mana pendaftarannya oleh Lembaga dipohon—

(a) hendaklah merupakan gelaran bagi genetik varieti tumbuhan itu;

(b) mestilah membolehkan varieti tumbuhan itu dikenal pasti;

(c) tidak boleh semata-mata terdiri daripada angka; dan

(d) hendaklah berbeza daripada nama pengenalan varieti tumbuhan lain yang mengenal pasti suatu varieti tumbuhan yang sedia ada dalam spesies tumbuhan yang sama atau dalam suatu spesies yang dekat hubungannya.

(2) Lembaga boleh menolak mana-mana nama pengenalan sesuatu varieti tumbuhan yang —

(a) tidak memenuhi kehendak subseksyen (1);

(b) bertentangan dengan kepentingan awam atau prinsip moral;

(c) tidak sesuai bagi mengenal pasti varieti tumbuhan; atau

(d) boleh menyebabkan kekeliruan berkenaan dengan ciri atau identiti pembiak baka varieti tumbuhan itu.

(3) Jika nama pengenalan bagi sesuatu varieti tumbuhan ditolak oleh Lembaga di bawah subseksyen (2), Lembaga boleh menghendaki pemohon memberikan nama pengenalan yang baru dalam masa yang ditentukan.

(4) Jika suatu nama pengenalan yang baru sebagaimana yang dikehendaki di bawah subseksyen (3) tidak diberikan oleh pemohon dalam masa yang ditentukan oleh Lembaga, maka permohonan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan tidak boleh diteruskan selanjutnya, tetapi tanpa menjejaskan hak pemohon itu untuk membuat permohonan yang baru.

 

(5) Nama pengenalan sesuatu varieti tumbuhan berdaftar hendaklah digunakan apabila varieti tumbuhan itu ditawarkan untuk jualan secara komersial dan jika suatu cap dagangan, nama dagangan atau penunjuk lain yang serupa yang digunakan bersama dengan nama pengenalan itu, maka nama pengenalan varieti tumbuhan berdaftar itu mestilah terus mudah dikenali.

(6) Walaupun tempoh hak pembiak baka berkenaan dengan sesuatu varieti tumbuhan telah tamat, mana-mana orang yang menawarkan untuk jualan secara komersial apa-apa bahan pembiakan sesuatu varieti tumbuhan berdaftar hendaklah terus menggunakan nama pengenalan varieti tumbuhan berdaftar itu.

Tarikh pemfailan

17. Tarikh pemfailan sesuatu permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka ialah tarikh permohonan itu diterima oleh Lembaga dengan syarat permohonan itu hendaklah mematuhi kehendak-kehendak seksyen 12.

Hak keutamaan

18. Tertakluk kepada seksyen 17, jika dua atau lebih permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka diterima oleh Lembaga berkenaan dengan varieti tumbuhan yang sama, keutamaan hendaklah diberikan kepada permohonan yang diuntukkan suatu tarikh pemfailan yang lebih awal oleh Lembaga.

Pemeriksaan permulaan

19. (1) Jika suatu permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka mempunyai suatu tarikh pemfailan dan permohonan itu tidak ditarik balik, Lembaga hendaklah memeriksa permohonan itu dan menentukan sama ada permohonan itu mematuhi kehendak-kehendak seksyen 15 dan 16.

 

(2) Jika Lembaga, hasil daripada pemeriksaan di bawah subseksyen (1), mendapati bahawa kehendak-kehendak seksyen 15 dan 16 tidak dipatuhi, Lembaga hendaklah member! pemohon peluang untuk memberikan apa-apa pandangan tentang dapatan itu dan untuk meminda permohonan itu dalam tempoh yang ditentukan supaya kehendak-kehendak itu dipatuhi, dan jika pemohon gagal berbuat demikian, Lembaga boleh menolak permohonan itu.

(3) Jika Lembaga, hasil daripada pemeriksaan di bawah subseksyen (1), mendapati bahawa kehendak-kehendak seksyen 15 dan 16 telah dipatuhi, Lembaga hendaklah memberitahu pemohon secara bertulis dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan.

Permintaan untuk pemeriksaan substantif

20. (1) Jika sesuatu permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka telah diperiksa di bawah seksyen 19 dan pemohon telah diberitahu di bawah subseksyen 19(3), pemohon itu hendaklah memfailkan dalam tempoh yang ditentukan suatu permintaan untuk pemeriksaan substantif bagi permohonan itu.

(2) Permintaan untuk pemeriksaan substantif di bawah subseksyen (1) —

(a) hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan;

(b) hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan; dan

(c) jika diminta oleh Lembaga, hendaklah memberikan kuantiti yang ditentukan bahan pembiakan yang dikehendaki bagi maksud pemeriksaan substantif itu.

Pemeriksaan substantif

21. (1) Jika suatu permintaan untuk pemeriksaan substantif telah dibuat di bawah seksyen 20, Lembaga hendaklah merujukkan permohonan itu kepada seorang Pemeriksa yang —

(a) hendaklah menentukan sama ada permohonan itu mematuhi kehendak seksyen 14; dan

(b) hendaklah melaporkan penentuannya kepada Lembaga.

 

(2) Jika Pemeriksa melaporkan mengikut subseksyen (1) bahawa kehendak seksyen 14 tidak dipatuhi, Lembaga hendaklah memberi pemohon peluang untuk memberikan apa-apa pandangan tentang laporan itu dan untuk meminda permohonan itu supaya mematuhi kehendak itu dalam tempoh yang ditentukan.

(3) Jika pemohon gagal untuk memuaskan hati Lembaga dalam tempoh yang ditentukan bahawa kehendak seksyen 14 telah dipatuhi atau untuk meminda permohonan itu supaya mematuhi kehendak itu, maka Lembaga hendaklah menolak permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu.

(4) Jika Pemeriksa melaporkan mengikut subseksyen (1) bahawa permohonan itu sebagaimana yang mula-mula difailkan atau sebagaimana yang dipinda mematuhi kehendak seksyen 14, Pemeriksa hendaklah memaklumkan Lembaga secara bertulis tentang dapatan pemeriksaannya itu.

Permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka hendaklah disiarkan

22. Jika Lembaga berpuas hati bahawa permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka telah mematuhi kehendak Akta ini, Lembaga hendaklah menyebabkan permohonan itu disiarkan dalam Warta.

Bangkangan terhadap permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka

23. (1) Mana-mana orang yang berkepentinganboleh, dalam masa tiga bulan dari tarikh penyiaran suatu permohonan untuk pendaftaran suatu varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka, memberikan notis kepada Lembaga dan pemohon mengenai niatnya untuk membangkang permohonan itu atas mana-mana alasan atau gabungan alasan yang berikut:

(a) bahawa orang yang membangkang permohonan itu berhak kepada hak pembiak baka itu jika berbanding dengan pemohon;

 

(b) bahawa permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan itu dan pemberian hak pembiak baka tidak mematuhi kehendak Akta ini;

(c) bahawa permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral;

(d) bahawa permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu boleh mengakibatkan suatu kesan negatif terhadap alam sekitar.

(2) Notis itu hendaklah secara bertulis mengikut cara yang dinyatakan oleh Lembaga dan hendaklah mengandungi suatu pernyataan alasan bangkangan itu.

Jawapan daripada pemohon

24. (1) Pemohon hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas menerima notis bangkangan itu menghantar suatu jawapan kepada Lembaga dan pembangkang itu, mengikut cara yang ditentukan oleh Lembaga secara bertulis, menyatakan alasan bagi permohonan untuk pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka.

(2) Jika pemohon gagal untuk memberikan jawapan kepada bangkangan itu dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1) atau, jika tempoh itu telah dilanjutkan oleh Lembaga, dalam tempoh tambahan itu, pemohon hendaklah disifatkan tidak lagi mahu meneruskan permohonannya untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka.

Pemfailan keterangan dokumentar sebagai sokongan

25. (1) Jika pemohon mengemukakan suatu jawapan di bawah subseksyen 24(1), pembangkang dan pemohon hendaklah memfailkan keterangan dokumentar yang menyokong bangkangan atau permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dengan Lembaga.

 

(2) Apa-apa keterangan dokumentar yang hendak difailkan oleh pembangkang atau pemohon di bawah subseksyen (1) hendaklah difailkan dalam tempoh dan mengikut cara yang dinyatakan oleh Lembaga secara bertulis.

(3) Jika pemohon memfailkan keterangan dokumentar yang menyokong permohonannya, pembangkang boleh diberi peluang, dalam masa yang dinyatakan oleh Lembaga secara bertulis, untuk mengemukakan kepada Lembaga dan pemohon keterangan jawapan yang hendak dikemukakan mengikut cara yang dinyatakan oleh Lembaga secara bertulis.

(4) Selepas menimbangkan keterangan dokumentar yang difailkan oleh pembangkang dan pemohon, dan selepas memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk membuat hujah, Lembaga hendaklah memutuskan sama ada—

(a) akan menolak permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka; atau

(b) akan meluluskan permohonan itu.

(5) Lembaga hendaklah, dalam tempoh dua bulan selepas membuat keputusan di bawah subseksyen (4), memberikan alasan keputusannya secara bertulis.

Kegagalan memfailkan keterangan dokumentar

26. (1) Jika pemohon gagal untuk memfailkan keterangan dokumentar sebagaimana yang dikehendaki di bawah subseksyen 25(1), Lembaga boleh menganggap permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu tidak lagi mahu diteruskan.

(2) Jika pembangkang gagal memfailkan keterangan dokumentar sebagaimana yang dikehendaki di bawah subseksyen 25(1), Lembaga boleh menganggap bangkangan itu tidak lagi mahu diteruskan dan hendaklah meluluskan permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka itu.

 

Penyimpanan sampel

27. Jika suatu permohonan untuk pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka telah diluluskan oleh Lembaga dan pemohon telah diberitahu secara bertulis, pemohon hendaklah, dalam masa yang ditentukan oleh Lembaga, menyimpan sampel biji benih atau apa-apa bahan pembiakan lain varieti tumbuhan itu dalam kuantiti yang ditentukan oleh Lembaga di suatu pusat yang diluluskan oleh Lembaga.

Pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian hak pembiak baka

28. (1) Jika Lembaga berpuas hati bahawa pemohon telah mematuhi kehendak seksyen 27, Lembaga hendaklah mendaftarkan varieti baru tumbuhan dan memberikan hak pembiak baka kepada pemohon dan hendaklah—

(a) mengeluarkan suatu perakuan pendaftaran varieti baru tumbuhan itu dan pemberian hak pembiak baka dalam bentuk yang ditetapkan kepada pemohon;

(b) merekodkan nama pengenalan varieti baru tumbuhan itu dan pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian suatu hak pembiak baka dalam Daftar Varieti Baru Tumbuhan; dan

(c) menyiarkan dalam Warta suatu rujukan mengenai pendaftaran varieti baru tumbuhan dan pemberian suatu hak pembiak baka itu.

(2) Kandungan perakuan hak pembiak baka hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang fakta yang dinyatakan dalam perakuan itu dan tempoh perlindungan yang diberikan.

Daftar

29. (1) Lembaga hendaklah menyimpan dan menyenggara suatu Daftar yang dinamakan Daftar Varieti Baru Tumbuhan.

(2) Daftar itu hendaklah disimpan dalam apa-apa bentuk dan hendaklah mengandungi apa-apa butir sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

 

(3) Daftar itu hendaklah tersedia bagi pemeriksaan oleh orang ramai tertakluk kepada syarat-syarat yang dianggap patut oleh Lembaga.

(4) Sesuatu salinan atau cabutan mana-mana catatan dalam Daftar yang diperakui benar oleh Setiausaha Lembaga dengan sewajarnya hendaklah diberikan kepada mana-mana orang yang meminta salinan atau cabutan itu apabila dibayar fi yang ditetapkan.

Back to top | Permohonan untuk pendaftaran | Orang yang boleh memohon untuk pendaftaran | Syarat-syarat bagi pendaftaran | Larangan pendaftaran dan pemberian hak pembiak baka
Nama pengenalan varieti baru tumbuhan | Tarikh pemfailan | Hak keutamaan | Pemeriksaan permulaan | Permintaan untuk pemeriksaan substantif | Pemeriksaan substantif
Permohonan untuk pendaftaran hendaklah disiarkan | Bangkangan terhadap permohonan untuk pendaftaran | Jawapan daripada pemohon | Pemfailan keterangan dokumentar sebagai sokongan | Kegagalan memfailkan keterangan dokumentar | Penyimpanan sampel
Pendaftaran varieti dan pemberian hak |
Daftar