Make your own free website on Tripod.com

PERMULAAN

Go to bottom

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004.

(2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Tafsiran

2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain —

"bahan pembiakan" ertinya apa-apa bahan atau tumbuhan, atau mana-mana bahagian tumbuhan, yang digunakan untuk penggandaan atau penghasilan semula;

"biak baka" ertinya menjalankan aktiviti yang sesuai bagi pembangunan apa-apa varieti tumbuhan;

"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;

"hak pembiak baka" ertinya hak yang diberikan apabila varieti baru tumbuhan didaftarkan di bawah Akta ini;

"Kementerian" ertinya Kementerian yang pada masa ini bertanggungjawab bagi pertanian;

"Kumpulan Wang" ertinya Kumpulan Wang Varieti Tumbuhan yang ditubuhkan di bawah seksyen 10;

"Lembaga" ertinya Lembaga Varieti Tumbuhan yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

"lesen wajib" ertinya pemberian kuasa oleh Lembaga di bawah seksyen 36 untuk dilaksanakan di Malaysia apa-apa perbuatan yang disebut dalam subseksyen 30(1) tanpa kebenaran atau persetujuan pemegang;

"masyarakat tempatan" ertinya suatu kumpulan individu yang telah menetap bersama dan mewarisi secara berterusan proses dan budaya pengeluaran atau suatu kumpulan orang yang menetap bersama dalam suatu kampung atau kawasan dan di bawah suatu sistem ekobudaya;

"menemui dan membangunkan" ertinya aktiviti yang menuju kepada pemaparan fenotip yang diingini dan memberi kesan pada genotip tanaman dan yang mungkin atau mungkin tidak akan melibatkan ciptaan kepelbagaian genetik yang sengaja atau tiruan;

 

"Menteri" ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi varieti tumbuhan;

"nama pengenalan" ertinya nama atau pengenalan bagi sesuatu varieti tumbuhan yang dinyatakan dengan abjad atau gabungan abjad dan angka yang ditulis dalam apa-apa bahasa;

"orang" termasuklah suatu kumpulan orang, diperbadankan atau tidak diperbadankan;

"pegawai diberi kuasa" ertinya seseorang pegawai yang diberi kuasa di bawah subseksyen 53(1);

"pembiak baka" ertinya seseorang yang telah membiakbakakan atau telah menemui dan membangunkan mana-mana varieti tumbuhan;

"pemegang" ertinya pemegang hak pembiak baka;

"pemegang lesen" ertinya mana-mana orang, agensi atau syarikat yang telah diberi suatu lesen wajib oleh Lembaga di bawah seksyen 36;

"Pemeriksa" ertinya mana-mana orang, jabatan kerajaan atau organisasi yang dilantik oleh Lembaga bagi maksud menjalankan pemeriksaan substantif di bawah seksyen 21;

"petani" ertinya mana-mana orang yang —

(a) menanam tanaman dengan cara menanam tanaman itu sendiri di tanah;

(b) menanam tanaman dengan cara menyelia secara langsung penanaman tanaman itu di tanah melalui mana-mana orang lain; atau

(c) memulihara dan memelihara, secara berasingan atau bersesama dengan mana-mana orang apa-apa varieti tanaman tradisional atau menambahkan nilai kepada varieti tradisional melalui pemilihan dan pengenalpastian ciri-ciri berguna varieti tersebut;

"petani kecil" ertinya seseorang petani yang perusahaan ladangnya tidak melebihi saiz tanah yang ditetapkan oleh Menteri;

 

"pribumi" ertinya orang yang termasuk dalam takrif "orang asli" atau "anak negeri" sebagaimana yang masing-masingnya ditakrifkan dalam Fasal (2) Perkara 160 dan Fasal (6) Perkara 161 a Perlembagaan Persekutuan;

"pusat" ertinya mana-mana tempat yang diluluskan oleh Lembaga bagi penyimpanan apa-apa sampel biji benih atau bahan pembiakan di bawah seksyen 27;

"sampel" termasuklah biji benih dan apa-apa bahan pembiakan yang lain yang boleh digunakan untuk pertumbuhan semula;

"tumbuhan" ertinya apa-apa organisma hidup dalam alam tumbuhan tetapi tidak termasuk apa-apa mikroorganisma;

"varieti" ertinya suatu kumpulan tumbuhan dalam satu taksonomi botani tunggal daripada peringkat terendah yang diketahui —

(a) yang dapat ditakrifkan dengan pemaparan ciri-ciri hasil daripada satu genotip tertentu atau satu gabungan genotip;

(b) yang dapat dibezakan daripada mana-mana kumpulan tumbuhan yang lain dengan pemaparan sekurang-kurangnya satu daripada ciri-ciri sedemikian; dan

(c) yang dapat dianggap sebagai suatu unit berkenaan dengan kesesuaiannya untuk dibiakkan tanpa sebarang perubahan,

dan termasuklah bahan pembiakan dan bahan tuaian varieti tumbuhan itu;

"varieti tumbuhan terbitan daripada asal" ertinya suatu varieti tumbuhan yang—

(a) kebanyakannya diterbitkan daripada varieti tumbuhan asas, atau daripada suatu varieti tumbuhan yang kebanyakannya diterbitkan daripada varieti tumbuhan asas, sambil mengekalkan pemaparan ciri-ciri asasnya yang dihasilkan daripada genotip atau gabungan genotip varieti tumbuhan asas;

(b) dapat dibezakan dengan jelas daripada varieti tumbuhan asas; dan

 

(c) kecuali bagi perbezaan yang timbul kerana perbuatan penerbitan, menyamai varieti tumbuhan asas dalam pemaparan ciri-ciri asas yang timbul daripada genotip atau gabungan genotip varieti tumbuhan asas;

"varieti tumbuhan berdaftar" ertinya suatu varieti tumbuhan yang telah didaftarkan sebagai suatu varieti baru tumbuhan dan yang baginya suatu hak pembiak baka telah diberikan di bawah Akta ini;

"wakil diri di sisi undang-undang", berhubung dengan orang yang telah mati, ertinya orang yang kepadanya probet wasiat oleh orang yang telah mati itu atau surat pentadbiran harta pusaka orang yang telah mati itu telah diberikan sama ada di Malaysia atau di luar Malaysia.

Back to top | bahan pembiakan | biak baka | ditetapkan | hak pembiak baka | Kementerian |Kumpulan Wang | Lembaga | lesen wajib | masyarakat tempatan | menemui dan membangunkan | Menteri |nama pengenalan | orang 
pegawai diberi kuasa |pembiak baka | pemegang | pemegang lesen | Pemeriksa | petani | petani kecil
pribumi | pusat | sampel | tumbuhan | varieti | varieti tumbuhan terbitan daripada asal
varieti tumbuhan berdaftar | wakil diri di sisi undang-undang